"Puan, saya tak faham apa maksudnya wasiat kepada waris
itu haram?"
Ini adalah soalan yang diajukan kepada saya oleh seorang
client saya petang semalam melalui whatsapp.
Soalannya itu disertakan sekali dengan potongan video ceramah oleh seorang penceramah yang menyebut
لا وصيةَ لوارثٍ (bermaksud, ‘Tidak boleh berwasiat
kepada waris’).
Beliau juga menyebut bahawa waris sudah ada bahagian mereka
seperti yang telah ditetapkan di dalam hukum faraidh, dan pusaka itu mestilah
diagihkan mengikut ketetapan ini. Tambahnya lagi, maka haram berwasiat kepada
waris, memandangkan wasiat yang dibuat tidak mengikut hukum faraidh. Contohnya,
mewasiatkan sebidang tanah kepada seorang anak, atau mewasiatkan rumah yang
didiami bersama isterinya kepada isterinya itu sedangkan waris-waris lain
wujud.
Mendengar kata-kata ini, mungkin telah membuatkan beliau
risau - apakah wasiat beliau itu tidak sah? Atau lebih membimbangkan lagi
apakah ianya menjadi haram? Walaupun saya sudah memberi penjelasan terlebih dahulu, mungkin beliau lupa atau terkeliru.(wasiatnya ditulis lebih kurang 3 tahun yang lalu,
dengan menyebut hasrat dan harapannya agar pusakanya dibahagi samarata kepada
waris-warisnya).
Ada 3 perkara yang perlu saya perjelaskan berkaitan
dengan isu yang membimbangkan client saya ini (mungkin juga ada orang lain di luar
sana yang turut bimbang).
Pertama,
Terdapat perbezaan pendapat di kalangan para ulama berkaitan
wasiat kepada waris yang tidak mengikut faraidh. Tidaklah saya termasuk
di kalangan ahli yang boleh memberi pendapat dan menyatakan hukum sama ada
boleh atau tidak. Saya sarankan pembaca membaca secara terperinci berkenaan
perbezaan pendapat ini yang terdapat di website-website Majlis Agama Islam.
Ke dua,
Hadis di atas ada sambungannya.
Jika dibacakan dengan
lengkap berserta rujukan, ianya boleh diperincikan atau diperjelaskan sandarannya agar
tidak akan menimbulkan kekeliruan dan kebimbangan para pendengar.
Saya sertakan di sini petikan dari website Majlis Agama Islam Selangor sebagai panduan pembaca.
WASIAT KEPADA WARIS
Jumhur fuqaha berpendapat wasiat kepada waris adalah tidak harus dan wasiat hanya sah dibuat kepada bukan waris yang menerima bahagian harta di bawah peraturan faraidh'
Berdasarkan kepada pandangan ini, asal hukum wasiat kepada waris adalah tidak sah melainkan jika waris lain bersetuju dengan wasiat yang dibuat ketika pewasiat meninggal dunia.
Dengan demikian, pelaksanaan wasiat kepada waris adalah bergantung kepada persetujuan dan keizinan daripada waris yang lainnya.
Sandarannya adalah berdasarkan hadis daripada Abdullah bin 'Abbas r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
لا وصيةَ لوارثٍ إلا أن يشاءَ الورثةُ
Yang bermaksud: “Tidak
boleh berwasiat kepada waris melainkan jika diizinkan oleh warisnya yang
lain.” (Riwayat Abu Daud)
Oleh itu, sesuatu wasiat yang dibuat kepada waris adalah tidak berkuatkuasa melainkan jika dipersetujui oleh waris-waris yang lain selepas kematian pewasiat.
Ke tiga,
Wasiat adalah pengakuan seseorang yang dibuat pada masa
hayatnya ke atas hartanya atau manfaatnya untuk digunakan bagi tujuan kebajikan
atau apa-apa tujuan yang dibenarkan oleh undang-undang Pewarisan Islam, selepas
kematiannya.
Bila kita sudah meninggal dunia kita tidak lagi dapat
berkata-kata, maka Surat Wasiat merupakan kata-kata pesanan kita yang akan
dibacakan oleh Wasi kepada waris-waris.
Maka apabila kita menulis wasiat, kita boleh nyatakan
pesanan/ hasrat dan harapan agar apabila kita meninggal dunia nanti waris-waris
menerima dan menghormati harapan kita.
Oleh itu, kita boleh buat berbagai pesanan termasuklah
pesanan menyatakan hasrat bagaimana cara pembahagian pusaka kita, selagi ianya
tidak bercanggah dengan hukum syarak.
Kita tidak menolak hukum Allah. Kita tidak menolak hukum
Faraidh. Bahkan semasa menulis wasiat, kita mesti akui dan bersetuju bahawa Faraidh
hendaklah diutamakan dan pembacaan wasiat tentang cara pembahagian pusaka adalah
merupakan penyampaian hasrat dan harapan pewasiat. Jika waris tidak mahu membuat pembahagian seperti yang kita harapkan, maka waris boleh untuk tidak ikut wasiat.
Sebaliknya membuat pembahagian mengikut hukum faraidh.
Maksud ‘melainkan jika diizinkan oleh waris/jika dipersetujui oleh waris’:
➤Jika semua waris faraidh bersetuju untuk ikut wasiat, tidak ada masalah kerana ini bermakna ada di antara waris yang bersetuju melepaskan sebahagian daripada haknya untuk diberikan kepada yang lain.
➤Jika ada di antara waris faraidh yang tidak bersetuju untuk ikut wasiat, maksudnya dia tidak mahu lepaskan sebahagian daripada haknya. Maka seluruh haknya itu perlu diberikan kepadanya mengikut kiraan faraidh.
➤Persetujuan/keizinan daripada waris-waris faraidh adalah diperolehi ketika pembacaan wasiat oleh Wasi iaitu selepas kematian pewasiat, bukan ketika menulis wasiat semasa hidup.
Walaupun menulis wasiat hanya merupakan satu perancangan, ia sangat-sangat dituntut oleh agama.
Baca article bertajuk:
Mengapa Menulis Wasiat Itu Penting
dan
Wasiat Kepada Bukan Waris
Membuat perancangan harta pusaka merupakan tanda bahawa seseorang itu telah mengambil berat atau mengambil peduli terhadap harta dan hutangnya.
Ia bererti seseorang itu telah berusaha dan berikhtiar sebelum dia meninggalkan dunia ini.
Bertepatan dengan hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Hibban:
Seorang lelaki berkata kepada Rasulullah s.a.w.: Aku lepaskan unta aku dan bertawakkal?
Baginda menjawab: Ikatlah unta itu dan bertawakkallah.
[Sahih Ibn Hibban, no 731]
Manakala di dalam riwayat Al-Hakim:
Ikatlah ia, dan bertawakkallah.
[Al-Mustadrak, no 6616. Adz-Dzahabi berkata sanadnya baik]

Comments
Post a Comment