Memahami Faraid


Adakah perancangan harta itu mengetepikan hukum Allah?

 

Apabila ada seseorang mati, mulailah timbul bicara tentang harta pusakanya. Kemudian, waris-waris pun timbul menuntut haknya.

 

Betul kan? Ya. Itulah senario yang selalu kita dengar. Dan ia benar-benar telah berlaku dan ia benar-benar telah dialami oleh sesetengah waris yang ditinggalkan oleh si mati. Ada waris yang tenang dan bermuafakat. Ada waris yang menindas yang lain. Ada waris yang lemah/mengalah. Ada waris yang tidak endah dan tak ambil peduli. Ada waris yang berebut-berebut. Ada juga yang sampai berbunuh. Nauzubillah. Hmm..macam-macam fe'el!

 

Apabila berbicara tentang harta pusaka - baik semasa perancangan mahupun di waktu pentadbiran, kita tidak boleh elak dari melibatkan hukum faraidh. Realitinya, hanya terdapat segelintir sahaja orang yang benar-benar alim dan arif dalam bidang ini. Walau bagaimana pun, adalah menjadi satu kelebihan apabila seseorang itu mempunyai pengetahuan tentangnya walaupun sedikit. 

 

Ilmu Faraidh adalah bertujuan untuk menentukan dan memberi bahagian tertentu daripada harta pusaka si mati kepada ahli warisnya yang berhak. Adalah merupakan satu bonus apabila seseorang itu memahami asas faraidh bagi membantu dirinya dan juga orang lain ketika membuat perancangan awal supaya lebih bermakna.

 

MARI KENALI FARAIDH SECARA RINGKAS


FARAIDH

Faraidh adalah Undang-undang Pewarisan Islam (Islamic Inheritance Law) yang berasaskan kepada Al-Quran dan as-Sunnah. Sesetengah permasaalahan mengambilkira ijtihad para sahabat yang mahir dalam ilmu faraidh. Perlaksanaannya adalah ke atas harta pusaka orang Islam iaitu harta atau hakmilik yang ditinggalkan oleh si mati.

 

WARIS 

Secara asasnya, mereka yang berhak mewarisi harta pusaka mestilah mempunyai pertalian/hubungan yang berikut dengan si mati:

1. pernikahan

2. nasab 

3. Tuan yang membebaskan hamba


PEMBAHAGIAN 

Kaedah pembahagian secara terperinci tidak dapat dibincangkan di sini kerana ia akan melibatkan perbincangan yang sangat luas. Namun secara ringkasnya, mereka yang disebut di atas mewarisi harta pusaka mengikut 2 cara pembahagian iaitu:

1. Pembahagian secara Fardhu

2. Pembahagian secara Asobah

Pembahagian secara Fardhu adalah pembahagian yang telah ditetapkan di dalam al-Quran dan juga as-Sunnah. Ketetapan untuk ahli fardhu adalah samada 1/2, 1/4, 1/8, 2/3, 1/3 atau 1/6. 

 Manakala pembahagian secara asobah adalah kepada waris tertentu yang tidak ditetapkan di dalam a-Quran atau as-Sunnah. Ahli asobah mendapat bahagiannya secara baki setelah ditolak bahagian ahli fardhu. Di kalangan ahli asobah ada yang mendapat semua, ada yang mendapat baki dan ada juga yang tidak mendapat apa-apa kerana tiada baki. 


Pengagihan pusaka kepada ahli waris dilakukan setelah ditolak perbelanjaan pengkebumian, segala hutang si mati (hutang dunia dan hutang akhirat), tuntutan harta sepencarian dan wasiat.

 

PENEGAHAN

Walaupun mempunyai pertalian atau hubungan seperti yang disebut di atas, sesetengah orang tertegah sama sekali dari mewarisi harta pusaka si mati. Semasa pengiraan, mereka dianggap seperti tidak wujud. Sebab-sebab penegahan adalah pembunuhan, berlainan agama atau murtad dan hamba sahaya.


HALANGAN

Penghalangan pusaka adalah penghalangan yang berlaku kepada ahli waris yang berhak daripada mendapat harta pusaka atas sebab-sebab yang tertentu yang telah ditetapkan oleh syarak (ahli waris dihalang daripada memperolehi pusaka kerana kewujudan ahli waris yang lain). 

Halangan ini boleh jadi halangan sebahagian ataupun halangan sepenuhnya. 

Contoh halangan sepenuhnya ialah: kewujudan anak lelaki menghalang sepenuhnya adik-beradik dari mewarisi. 

Manakala contoh halangan sebahagian ialah: bahagian suami yang paling besar iaitu 1/2 dihalang separuh menjadi 1/4 kerana si mati (isteri) meninggalkan seorang anak.

 

ADAKAH MEMBUAT PERANCANGAN HARTA ITU MENIDAKKAN FARAID DAN MENGETEPIKAN HUKUM ALLAH?

 

Kematian kita bermaksud sudah selesailah kita makan/guna(consume) rezki yang Allah sudah tetapkan untuk kita. Yang mana tinggal berbaki dan masih lagi di atas nama kita, itulah menjadi harta pusaka, tidak lagi menjadi milik kita dan ianya perlu dibahagikan kepada orang-orang yang masih hidup yang berhak.

 

Kita perlu faham bahawa Hukum Faraid adalah ke atas harta pusaka, iaitu harta yang dimiliki oleh seseorang Islam semasa kematiannya. 

Selagi seseorang itu masih hidup, harta yang dimilikinya belum lagi menjadi harta pusaka. Semua itu adalah kurnia daripada Allah s.w.t. kepada hambanya yang dia kehendaki dan merupakan amanah yang dipertanggungjawabkan. Hanya sebahagiannya darinya sahaja yang kita nafkahkan (kepada diri sendiri dan kepada orang lain).

 Selebihnya, terpulanglah kepada kebijaksanaan kita untuk menguruskannya - dengan cara apa dan untuk apa. Maka tak salah untuk kita buat perancangan yang terbaik selagi mana ianya tidak melanggar syarak. 

Malah, perancangan harta pusaka sangatlah digalakkan kerana dapat memberi banyak kebaikan kepada diri sendiri, waris, orang-orang tersayang dan ummah secara keseluruhannya.

 

Bayangkan jumlah aset terbeku di Malaysia kini sudah  mencecah RM70 billion. Boleh jadi kita ini sebenarnya adalah salah seorang daripada mereka yang tidak dapat menikmati harta pusaka nenek moyang kita (kerana tak buat pentadbiran dan tak agihkan). Ini tidak mustahil.


Oleh yang demikian, apabila kita mati nanti, mestilah kita mahukan baki-baki harta kita diwarisi, dinikmati dan dimanfaatkan.

 

Kita juga mesti mahukan pahala yang berterusan dengan berpesan sedekah atau wakaf.

 

Kita juga mesti nak sampaikan pesan dan harapan kepada waris.

 

Yang penting sekali, kita mesti nak merancang bagaimana jika kita ada hutang. Siapa yang hendak tolong bayarkan hutang sedangkan harta pun ada. Jangan-jangan tak ada orang tahu tentang hutang kita sedangkan semua harta sudah diagihkan. Hutang masih juga belum berbayar. 😢


Jom buat perancangan sebelum sesal yang tak berguna lagi.

 

 

oleh,

Cik Intan

Islamic Estate Planner

 


Comments